Sunday, February 1, 2009

MERDEKAKAH JIWA REMAJA KITA


Remaja merupakan aset penting kepada Negara. Remaja yang berkualiti mampu mencorak Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Namun dewasa ini kita sering dimomokkan dengan kes salah laku dikalangan remaja melayu yang semakin meningkat bahkan semakin membarah dari semasa ke semasa. Lalu kita mula terfikir mengapa hal sebegini boleh berlaku, dimana silapnya dan siapakah yang harus dipersalahkan?. Adakah benar kata bekas perdana menteri kita “melayu mudah lupa”. Ya, jika betul pepatah itu maka tidak sedarkah remaja kita yang dari mana mereka datang dan apakah yang mereka lakukan itu selari dengan didikan islam atau tidak.
Adakah salah jika saya katakan remaja semakin keterlaluan terutama sekali tentang berpakaian. Mana menghilang adab dan kesusilaan melayu? Cuba kita perhatikan tidak ramai gadis melayu sekarang berbaju kurung tetapi ramai yang lebih suka untuk berfesyen kebaratan yang terdedah sana sini. Sungguh memalukan jika dipandang. Pakaian remaja? Dengar sahaja perkataan itu lalu kita pun terbayangkan cara mereka berpakaian. Mana tidaknya dengan baju yang tidak cukup kainnya dan seluar yang ketat dan ada pula dengan seluar yang koyak rabaknya, terlondeh sana sini. Jika ditanya sudah tentu jawapannya ikut fesyen terkini.
Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Ahzab ayat 59:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Mengasihi”.
Dari ayat tadi jelaslah kepada kita bahawa cara remaja kita berpakaian sekarang sememangnya bertentangan dengan ajaran islam. Mungkin pada fikiran mereka, mereka masih muda dan masih banyak lagi masa untuk bertaubat tetapi mereka tidak sedar yang ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Apa yang mereka fikirkan sekarang hanyalah untuk berseronok, bergaya dan berhibur sahaja.
Selain dari itu , cuba kita perhatikan juga remaja yang bertudung. Nampak ayu bukan? Secara zahirnya kita memang nampak mereka menutup aurat, namun jika diperhatikan betul-betul lalu kita akan berkata apa gunanya bertudung jika berpakaian sendat, berseluar ketat dan tidak kurang juga yang berlengan pendek. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil yang di pakai si gadis yang mana jika sekali pandang seolah-olah memakai baju adik yang berusia 5 tahun. Namun itulah realiti cara remaja kita berpakaian sekarang. Semakin ditegur, semakin menjadi-jadi. Maka tidak hairanlah jika kes rogol semakin meningkat di Negara ini.
Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, Phd dalam Pemikiran Islam, UM, pensyarah dan felo USIM, berkata remaja sekarang ramai yang bertudung untuk berfesyen sahaja padahal mereka tidak sedar yang bertudung itu merupakan satu tuntutan di dalam Islam. Bertudung tapi berpakaian sendat, berselendang tetapi nipis dan ada juga yang bertudung tapi tidak menutup aurat yakni nampak rambut adalah suatu kebiasaan pada masa ini. Untuk itu beliau berharap agar remaja berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu dan perbetulkan niat untuk apa mereka bertudung.
Trend ‘punk’, ‘funky’, ‘rappers’, ‘gengster’, dan sebagainya mempunyai cara berpakaian mereka sendiri. Trend ‘punk’ misalnya dengan berambut pacak dan berkasut bot serta berseluar ketat memang tidak sopan dipandang. Namun pakaian inilah yang menjadi kegilaan sesetengah remaja kita sekarang. Berlambak remaja kita yang berpakaian sebegini dan mereka tidak sedikit pun berasa malu bila dipandang oleh masyarakat malah bertambah bangga. Inikah yang dikatakan remaja yang merdeka? Namun mereka tidak sedar bahawa jiwa mereka masih lagi terjajah oleh barat. Barat mentertawakan akan kebodohan remaja kita kerana dengan mudah mereka membeli dan mempengaruhi pemikiran remaja kita.
Menurut pendapat Sujiah Salleh, MSc. Film, remaja sekarang lebih terdedah terutama sekali internet dan orang yang lebih dewasa daripada mereka. Keinginan untuk berfesyen itu lumrah tetapi janganlah terlalu melampau batas. Peranan ibubapa adalah penting dalam memantau, mengawal dan memimpin anak mereka agar menjadi yang terbaik tetapi perlu diingat bahawa remaja tidak boleh terlalu dikongkong oleh keluarga. Masyarakat dan persekitaran sekeliling juga ada peranan tersendiri dalam membentuk remaja yang berkualiti.
Sentuh pula bab pergaulan, memang keterlaluan. Remaja sekarang semakin lupa diri, tidak tahu yang mana halal dan yang mana haram. Usia baru setahun jagung tapi sudah pandai bercinta. Perangai remaja melayu kian menggila. Cuba perhatikan di pusat-pusat membeli belah. Seperti semut menghurung gula. Betapa banyaknya pasangan remaja yang sedang asyik bercinta sehingga tidak ingat dunia. Bak kata Tan Sri P.Ramli “dunia ini ana yang punya”. Aksi berpegangan tangan sudah menjadi kebiasaan malah ada yang tidak segan silu melakukan aksi bercumbuan di depan khayalak ramai. Itu baru di depan mata kita, yang tersembunyi hanya Allah sahaja yang tahu. Mana perginya didikan agama yang diajar sedari kecil lagi. kemana menghilangnya maruah dan harga diri?.
Sesetengah berpendapat gadis melayu murah? semurah membeli sayur dipasar. Pantang dirayu sedikit tapi gediknya melampau-lampau. Si jejaka tidak perlu menghabiskan wang ringgit tetapi cukup berbekalkan air liur semata-mata sahaja. Kenapakah si gadis melayu mudah cair dengan pujuk rayu lelaki? Adakah Negara kita ketandusan lelaki beriman? Mungkin. Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita mahasiswi melayu dari universiti tempatan sanggup bekerja sebagai pelacur di malam hari semata-mata untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan. Adakah itu alasan yang munasabah? Tidak adakah lagi pekerjaan yang halal dan berkat disisi syarak? Ceteknya ilmu agama remaja kita sekarang, tidak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu. Maka tidak hairanlah ramai gadis sanggup serah ‘body’ kerana cinta.
Kes yang lebih malang lagi ialah apabila anak gadis sanggup lari dari rumah mengikuti teman lelaki apabila hubungan mereka tidak direstui keluarga. Selama berpuluh-puluh tahun ditatang oleh keluarga tapi apabila besar memalukan keluarga, lari ikut lelaki yang baru dikenali beberapa hari. Mana tanggungjawab kita sebagai anak? Adakah dengan lari dari rumah itu boleh menyelesaikan masalah? jawapannya sudah tentu tidak. Wahai gadis ingatlah bahawa lelaki sekarang jarang yang boleh dipercayai. Ramai yang mata duitan, buaya darat dan ada juga yang mendekati gadis demi mendapatkan seks semata-mata. Bila keinginan mereka dipenuhi, mereka akan tinggalkan kita keseorangan terkapai-kapai tanpa arah tuju, bak kata pepatah “habis madu sepah dibuang”.
Penangan sms pun cukup hebat sekarang. Cuba perhatikan, kanak-kanak pun sudah mempunyai telefon bimbit sendiri, ada camera lagi. Hidup dalam zaman teknologi katakan. Ada sesetengah remaja yang sanggup tidak tidur malam demi ingin bersms dengan pasangan. Bukankah ini kerja bodoh tapi inilah hakikatnya yang sebenar. Dari tersalah sms pun boleh jadi pasangan kekasih. Mula-mula sms, kemudian timbul rasa ingin berjumpa, bila berjumpa maka berlakulah persentuhan. Lama kelamaan, berpegangan tangan dan bila syaitan jadi orang ketiga maka terjadilah perkara yang tidak diingini.
Anda percaya atau tidak jika saya katakan yang kebanyakan remaja sekarang menyimpan video seks dalam telefon mereka. Mula-mula lihat, kemudian timbul keinginan untuk melakukan. Bila sekali lakukan maka keinginan untuk lakukan lagi itu tinggi. Menurut kajian Dr. Khaidzir Ismail, pakar kanak-kanak dan remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Hasil kajiannya terhadap 887 pelajar perempuan yang berisiko tinggi di sebuah negeri mendapati hanya seorang sahaja yang mengaku tidak pernah melakukan seks bebas. Hasil kajiannya ini telah mengejutkan seluruh lapisan masyarakat. Cuba kita bayangkan 10 tahun akan datang. Masih adakah lagi gelaran gadis sunti atau gadis melayu dalam masyarakat kita. Jika perlu, gelaran apa lagi yang boleh diberikan kepada gadis kita ? fikir-fikirkan dan renung-renungkan.
Menurut Ust. Helmi Hasbullah, guru agama Sekolah Menengah Agama Bachok, berpendapat bahawa remaja sekarang semakin lupa diri dan mudah sangat terpengaruh dengan budaya luar contohnya berpasangan, bercium, tangkap gambar yang bukan-bukan, lepak, rempit dan sebagainya. Persoalannya sekarang adakah ibubapa mereka tidak memberikan didikan agama yang sempurna atau anak-anak sekarang terlalu dimanjakan sangat. Kes yang lebih parah lagi bila kecil-kecil dah pandai hisap rokok, tidak rasakah yang perbuatan mereka itu membazir duit ibubapa mereka sahaja. Tidak terfikirkah mereka yang perbuatan mereka itu merugikan mereka sendiri. Persoalannya lagi, tidak ada ke program yang berfaedah yang boleh mereka ikuti? Contohnya, bagi yang sukakan sukan lasak, wujudkanlah satu tempat untuk mereka beriadah di samping selitkan lagi aktiviti-aktiviti lain yang berfaedah.
Remaja sekarang terlebih dalam tergila-gilakan hiburan dunia. Pantang ada konsert sikit pasti berduyung-duyung pergi. Hiburan sekarang memang melampau. Habis anak muda kita rosak dek penangannya. Golongan artis diagung-agungkan dan golongan ilmuan tenggelam entah di mana. Sebut saja Mawi semua orang kenal. Mereka tidak fikir ke yang hiburan tersebut bukannya boleh dibawa mati. Cuba kita perhatikan pula masjid-masjid di seluruh Negara, berapa kerat sahaja remaja yang pergi ke masjid yang lain entah ke mana. Masih ingatkah lagi remaja kita kepada Tuhan atau mereka dah terlupa bagaimana nak solat. Dalam kes yang lebih parah lagi, ada juga remaja yang sepanjang hidup mereka, dahi tidah pernah sentuh sejadah. Untuk itu, “sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”.
Menurut pendapat Ust. Khairi Mahyuddin, Pendidikan BA Master UIA dalam dakwah, sekarang pensyarah dakwah FKP, kewujudan media itu bagus dan kita tidak boleh menolak media seratus peratus. Kewujudan artis juga bagus kerana dia menyampaikan hiburan dan membuatkan hidup kita tidak sunyi. Namun kita harus tahu apa bentuk hiburan yang disampaikan kepada kita dan selidiki adakah ia melalaikan atau tidak? Kita tidak boleh menolak pengaruh barat seratus peratus tetapi amalkan sikap menapis kerana tidak semua yang dibawa oleh barat itu negative contohnya teknologi, sains dan sebagainya. Kita diberi akal untuk berfikir jadi fikir dulu sebelum buat sesuatu. Beliau berharap agar remaja lebih sedar tentang kewajipan kita dihidupkan di muka bumi ini dan jadilah insan yang berguna kepada Tuhan, ibubapa, bangsa dan Negara.
Sejak akhir-akhir ini muncul pula pelbagai rancangan realiti di televisyen. Sebut sahaja Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Gangstarz, Mentor dan banyak lagi pasti semua orang tahu. Malah jika ada ujibakat nyanyian pasti berduyung-duyung yang ingin turut serta. Semuanya tergila-gila ingin bergelar artis. Dah tidak ada kerja lain ke yang boleh dibuat, yang berkat dan yang boleh menjamin masa depan sedikit. Ibubapa pun satu hal, ikut saja semua kemahuan anak mereka. Maka tidak hairanlah jika ada sesetengah ibubapa sanggup menangis apabila anak mereka tersingkir dari pertandingan nyanyian. Dunia-dunia, dah nak kiamat agaknya.
Sebagai kesimpulannya, masih tidak terlalu lewat untuk remaja kita sedar diri. Jadilah diri kita sendiri dengan ikuti adab dan budaya kita sendiri. Ini kerana budaya kita sudah cukup sempurna untuk diikuti. Untuk para gadis, pandai-pandailah menjaga maruah dan kehormatan diri kerana kita adalah insan yang istimewa. Untuk para lelaki didiklah diri agar menjadi pemimpin yang berjaya, kawallah nafsumu dan ingatlah Tuhan itu maha berkuasa atas segalanya.

1 comment:

  1. REMAJA KITA TAKKAN DAPAT BERUBAH SELAGI PEMIKIRANNYA DIJAJAH OLEH BARAT!!!

    ReplyDelete